Jalur Gemilang
Berita :
Anak Gondang ‘Pikat’ Juri, Pekebun Marang Rangkul Johan Durian Kampung Premium
Anak Gondang ‘Pikat’ Juri, Pekebun Marang Rangkul Johan Durian Kampung Premium
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 8 September – Tidak perlu memiliki ratusan pokok atau kebun yang luas, hanya lima hingga enam pokok durian berusia hampir 30 tahun sudah cukup untuk membawa Mohamad Latif Awang, 62, dari Sungai Serai, Marang meraih gelaran Johan Pertandingan Durian Kampung Premium Negeri Terengganu 2026.

Lebih manis, kemenangan itu hadir menerusi durian Anak Gondang yang bukan sahaja mempunyai isi tebal dan tekstur lembut, malah terkenal dengan pahit-pahit manis serta biji yang kecil.

Kejayaan tersebut melayakkan Mohamad Latif membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penghargaan.

Menurutnya, penyertaannya dalam pertandingan berkenaan bermula selepas dimaklumkan pihak Jabatan Pertanian mengenai program tersebut, sebelum beliau mengambil peluang mengetengahkan buah yang dianggap mempunyai ciri istimewa itu.

“Beberapa kawan yang pernah makan durian ini memberitahu rasanya sedikit pahit tetapi sedap, buahnya besar, isi lembut dan bijinya kecil.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka boleh menang. Kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk terus memperbaiki penjagaan pokok dan meningkatkan lagi kualiti buah,” katanya.

Mohamad Latif berkata, pokok Anak Gondang berkenaan ditanam kira-kira tiga dekad lalu dan penjagaannya dilakukan secara sederhana termasuk membersihkan kawasan kebun serta melakukan pembajaan.

Sementara itu, Ketua Juri pertandingan, Prof. Madya Dr. Abd Jamil Zakaria berkata, penilaian durian kampung premium bukan semata-mata berdasarkan rupa buah, sebaliknya mengambil kira keseluruhan ciri termasuk warna, tekstur, rasa, aroma, saiz biji dan ketebalan isi.
Katanya, ciri-ciri durian Musang King dan Duri Hitam dijadikan antara penanda aras dalam menentukan kualiti durian kampung yang dipertandingkan.

“Isi tidak boleh terlalu berserat atau berurat, selain perlu mempunyai tekstur yang halus dan mudah dibuka. Dari segi rasa pula, durian perlu mempunyai gabungan lemak dan manis.

“Aroma juga penting kerana ia menjadi antara ciri yang membezakan sesuatu varieti dan memerlukan kepekaan deria untuk menilainya,” katanya.

Beliau berkata, gabungan warna isi yang menarik, biji kecil, isi tebal dan halus, rasa lemak manis serta aroma tersendiri menjadi antara kriteria utama dalam menentukan durian kampung premium terbaik.

Pertandingan anjuran Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu menghimpunkan pekebun durian kampung dari seluruh daerah bagi mengetengahkan potensi varieti durian tempatan sebagai buah premium yang mampu mempunyai nilai komersial tinggi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan