Jalur Gemilang
Berita :
Bicara Surah An-Nur Diperluas Ke Sekolah, Masjid Dan Agensi Seluruh Terengganu
Bicara Surah An-Nur Diperluas Ke Sekolah, Masjid Dan Agensi Seluruh Terengganu
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
52

BESUT, 8 September – Program Bicara Surah An-Nur akan terus diperluas di seluruh Terengganu dengan menyasarkan pelaksanaannya di sekolah, masjid, surau dan jabatan serta agensi kerajaan.

Pengarah Urusetia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai program sekali sahaja, sebaliknya perlu dikembangkan secara berterusan bagi memastikan penghayatan Surah An-Nur dapat diterapkan dalam kehidupan masyarakat.

Menurutnya, Bicara Surah An-Nur telah dilaksanakan di lapan daerah sepanjang tahun ini dengan Besut menjadi daerah terakhir bagi siri perasmian peringkat daerah.

“Bicara Surah An-Nur ini bukan nak buat satu kali ini sahaja. Bila kita rasmi, kita suluh dah berapa yang sudah ada.

“Kita harap Bicara Surah An-Nur ini tumbuh seperti cendawan di sekolah, masjid dan surau,” jelasnya ketika berucap pada Program Bicara Surah An-Nur peringkat daerah Besut di Masjid Hadhari Jertih, di sini.

Beliau menambah, Urusetia Wanita Terengganu akan memantau perkembangan program berkenaan pada 2027 bagi melihat sejauh mana ia berkembang selepas perasmian di semua daerah.

Katanya, sekiranya masih terdapat kawasan atau agensi yang belum melaksanakan program tersebut, pihaknya akan menyusun perancangan supaya lebih ramai wanita di Terengganu dapat mengikuti pengajian dan penghayatan Surah An-Nur.

“Kalau tak boleh buat sebulan sekali, buat setahun. Kalau jabatan nak buat setahun dua kali pun boleh. Dan sepatutnya ia dihadam dan difahami oleh lelaki dan wanita sebenarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslina berkata, usaha berkenaan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Terengganu untuk membentuk wanita yang berilmu, memahami, menghayati dan melaksanakan tuntutan yang terkandung dalam Surah An-Nur.

Beliau menambah, penghayatan surah berkenaan juga penting bagi memastikan wanita dapat berperanan sebagai agen tarbiah serta contoh teladan dalam keluarga dan komuniti.

Sementara itu, katanya lagi, pelaksanaan Bicara Surah An-Nur di Besut turut digabungkan dengan program Sinergi, Wanita Bangkit yang menghimpunkan pelbagai pameran dan pengisian berkaitan pembangunan wanita.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengajian Surah An-Nur dalam kalangan wanita dan masyarakat di Besut telah dilaksanakan secara berkala di beberapa lokasi termasuk DUN Kuala Besut, Jertih dan Hulu Besut.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslina berkata, pembangunan wanita turut menjadi fokus Urusetia Wanita Terengganu melalui pelbagai inisiatif termasuk program ekonomi.

Antaranya, katanya, usaha mengenal pasti wanita yang sesuai untuk menerima ayam kampung betina bagi dipelihara di rumah sebagai langkah awal menjana pendapatan sebelum dikembangkan kepada bidang keusahawanan.

“Ini namanya pembangunan wanita. Mula-mula ini kita suruh dia bela di halaman rumah dulu, lepas itu kita jadikan dia usahawan wanita pula, insya-Allah,” katanya.

Ujarnya lagi, pendekatan berkenaan selari dengan visi Urusetia Wanita Terengganu sebagai 'Peneraju Pembangunan Wanita ke arah Terengganu Sejahtera'.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan