Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Teruskan Bantuan Modal, Peralatan Untuk Usahawan Muda
Terengganu Teruskan Bantuan Modal, Peralatan Untuk Usahawan Muda
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
159

KUALA TERENGGANU, 11 September – Kerajaan Terengganu akan meneruskan bantuan peralatan dan dana perniagaan kepada graduan serta golongan muda yang mahu menceburi bidang keusahawanan tetapi berdepan kekangan modal.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata bantuan khusus itu akan diteruskan kepada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah bagi membantu golongan berkenaan memulakan perniagaan dan menjana pendapatan.

Menurutnya, inisiatif itu penting khususnya dalam menghadapi cabaran pengangguran graduan, ketidaktentuan ekonomi serta risiko kehilangan pekerjaan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan buat keputusan untuk meneruskan bantuan pada tahun ini kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah dengan memberikan peralatan dan seumpamanya.

“Pihak YPU sendiri juga mempunyai satu tabung yang tidak menghadkan umur penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live di Hub Digital Niaga Terengganu, di perkarangan Pusat Dagangan Terengganu, semalam. 

Ariffin berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai peluang yang disediakan kerajaan negeri kepada graduan dan golongan muda yang mahu memulakan perniagaan tetapi berdepan kekurangan modal.

Menurutnya, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menyalurkan bantuan kepada usahawan secara berkala dengan jumlah melebihi RM1 juta bagi setiap agihan, yang dilaksanakan kira-kira tiga hingga empat kali setahun.

Katanya, sebahagian besar penerima bantuan berkenaan terdiri daripada golongan muda, manakala kerajaan negeri akan terus menilai keperluan untuk menambah peruntukan pada masa hadapan.

“Bagi tahun ini, insya-Allah kita akan teruskan dengan bajet yang sama dan tahun-tahun akan datang kita akan melihat kemungkinan untuk menambah lagi bajet tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, usahawan Terengganu bakal memperluaskan pasaran produk mereka ke luar negeri menerusi penganjuran Terengganu Showcase di Kedah pada 24 hingga 28 September ini.

Ariffin berkata program berkenaan akan berlangsung di Aman Central, Alor Setar hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Menurutnya, usaha membawa usahawan Terengganu menyertai program promosi dan jualan di luar negeri sebelum ini menunjukkan hasil memberangsangkan apabila mencatatkan jualan melebihi RM600,000 dalam tempoh seminggu di MAHA.

“Jualan di MAHA sebelum ini lebih daripada RM600,000 dalam masa seminggu, satu jumlah yang sangat besar kepada usahawan-usahawan kita.

“Jadi, yang terdekat ini pada 24 hingga 28 September, kita akan membawa usahawan Terengganu ke Aman Central, Kedah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum menetapkan sasaran jualan bagi Terengganu Showcase di Kedah memandangkan ia merupakan penganjuran pertama di lokasi berkenaan.

“Disebabkan ini kali pertama, kita belum pasti berapa sasaran jualan. Kita akan lihat dahulu sambutan dan pencapaian sepanjang program,” katanya.

Selain Kedah, Ariffin berkata usaha mempromosikan produk serta usahawan Terengganu turut dilaksanakan di peringkat antarabangsa termasuk di Singapura sebelum ini.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan