Jalur Gemilang
Berita :
YPU Sasar 2027 Tahun Digital Usahawan Terengganu
YPU Sasar 2027 Tahun Digital Usahawan Terengganu
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
108

KUALA TERENGGANU, 10 September – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menjadikan tahun 2027 sebagai  Tahun Digital Usahawan Terengganu bagi mempercepatkan pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu akan memberi tumpuan khusus kepada usahawan kecil yang menjadi sebahagian besar daripada kelompok usahawan di Terengganu.

Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan usahawan tempatan mampu menyesuaikan perniagaan mereka dengan perkembangan teknologi serta memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan jualan.

“Insya-Allah tahun depan kami merancang YPU akan jadi tahun digital untuk usahawan ini. Kita akan perkenalkan usahawan digital kepada seluruh rakyat negeri ataupun usahawan-usahawan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live di Hub Digital Niaga Terengganu, di Perkarangan Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Ariffin menambah, usaha mendigitalkan perniagaan akan diperluaskan melalui latihan dan pendedahan kepada pelbagai platform digital.

Katanya, perubahan penggunaan teknologi yang sebelum ini dianggap asing kini semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan dan urusan perniagaan harian.

“Jadi kita memang fokus kepada usahawan kecil ini supaya mereka mendigitalkan perniagaan mereka,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya lebih 200,000 usahawan Terengganu kini berdaftar di platform TikTok, sekali gus menunjukkan potensi besar ekonomi digital untuk dikembangkan di negeri ini.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk usahawan tempatan yang menggunakan platform e-dagang lain seperti Shopee dan Alibaba.

Menurutnya, perkembangan tersebut membuktikan semakin ramai usahawan tempatan mula memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk masing-masing.

“Tiktok ada 200,000 lebih yang berdaftar. Sebenarnya jumlah yang besar tidak termasuk daripada lain-lain lagi macam Shopee, Alibaba,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, YPU memberi tumpuan kepada usahawan kecil bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi digital.

"Terengganu mempunyai kira-kira 87 peratus usahawan kecil antara yang tinggilah di Malaysia, kalau banding usahawan lain," tambah beliau.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan