KUALA NERUS, 19 Julai – Terengganu FC (TFC) kini berada pada tahap 80 peratus persiapan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia dengan kepulangan semula jurulatih Nafuzi Zain bagi membimbing skuad Penyu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, baki persiapan melibatkan ketibaan pemain-pemain baharu yang akan menyertai latihan serta program pramusim di negara jiran bagi memantapkan pasukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Program Trivet Football Day 2026 di Perkarangan Padang Latihan Stadium Gong Badak, di sini, semalam.

Katanya, pengurusan TFC memilih pendekatan lebih realistik dengan memberi keutamaan kepada pemulihan kedudukan kewangan kelab yang berdepan cabaran serius sejak musim lalu.
“Sebahagian besar komitmen kewangan telah berjaya diselesaikan, namun pengurusan tidak mahu terburu-buru meletakkan sasaran tinggi sebaliknya memberi fokus kepada pembentukan pasukan dan kelab yang lebih kukuh untuk jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, dari aspek penajaan beliau memaklumkan, TFC masih belum memperoleh penaja utama daripada pihak luar dan ketika ini terus menerima sokongan penajaan platinum daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sama seperti musim lalu.
Mengenai pemain import pula katanya, pengumuman rasmi akan dibuat secara berperingkat selepas setiap pemain tiba dan menandatangani kontrak bersama TFC.