Berita :
Umat Islam Perlu Bersatu Hadapi Cabaran Musuh
Umat Islam Perlu Bersatu Hadapi Cabaran Musuh
Ariss Alias
2 jam yang lepas
46

SETIU, 10 Mac - Umat Islam pada hari ini perlu bersatu tanpa mengira mazhab, fahaman politik, bangsa dan kaum bagi menghadapi cabaran serta pihak yang memusuhi Islam. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi,  berkata, perpecahan dalam perkara cabang atau furuk hanya akan melemahkan kekuatan umat dan membuka ruang kepada musuh untuk mengambil kesempatan.

"Jika kita masih berbalah dalam perkara cabang, amat malang kerana kita sebenarnya sedang terperangkap dalam permainan musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Madinah Ramadan dan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Daerah Setiu yang berlangsung di Masjid Kilang Sawit Sungai Tong, Kampung Bukit Nenas, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Yusaini Amir Mohamad Nor,  Pegawai Agama Daerah Setiu Mohd Kamal Mamat serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan 

Beliau turut mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk mendekatkan diri dengan al-Quran di samping menghayati sejarah penting perjuangan Islam, khususnya peristiwa Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadan.

Tambahnya, Ramadan juga merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam apabila beberapa peristiwa besar seperti Pembukaan Kota Mekah serta penaklukan Islam di Sepanyol berlaku dalam bulan yang penuh keberkatan itu.

Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, beliau menggalakkan umat Islam mengamalkan tiga perkara mudah iaitu menunaikan solat sunat dua rakaat, membaca Surah al-Ikhlas serta bersedekah sekurang-kurangnya RM1 setiap hari, semoga akan mendapat pahala lebih daripada ibadah selama seribu bulan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan