'Internet Macam Siput' Kini Diatasi

KEMAMAN, 25 Jun - Istilah 'Internet Macam Siput' oleh sesetengah netizen tidak lagi terpakai di Kampung Pondok Pasir, Kijal setelah menara telekomunikasi yang baharu dibina kini mula beroperasi dengan pencapaian tertinggi sepenuhnya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika tinjauan di menara tersebut kelmarin berkata, ia sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan tersebut.

Hazri Jusoh (kiri) dan Zawawi Mohamed di tapak menara.

"Alhamdulillah, dengan beroperasinya menara ini ia dapat menyelesaikan masalah capaian internet di Kampung Pondok Pasir, Yak Yah dan Ibok.

"Mudah-mudahan kemudahan liputan 4G ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk kampung dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kita semua.

"Terutama kepada pelajar yang kini sedang mengunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan komuniti di sekitar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid 19," katanya.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Zawawi Mohamed yang turut serta menerangkan, seramai 1,000 penduduk di sekitarnya dapat menikmati kemudahan ini.

"Seramai 1,000 penduduk di tiga buah kampung tersebut dapat menikmati kemudahan ini termasuk pengunjung di Zoo Kemaman kerana ia juga termasuk dalam lingkungannya," terangnya.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyegerakan permohonan kami tempoh hari dengan sokongan Pejabat Penyelaras DUN Kijal dalam menyejahterakan komuniti kampung dan seluruh rakyat negeri Terengganu," ujarnya.

Menara telekomunikasi di Kampung Pondok Pasir mula beroperasi.​​​​

Menara setinggi 200 kaki itu telah siap dibina sepenuhnya pada Mac 2021 oleh FGV Prodata dan Hazri menyeru agar syarikat telekomunikasi yang lain seperti Celcom, DIGI, UMobile dan sebagainya boleh memanfaatkan peluang ini untuk kebaikan rakyat.


Tag: