lightning-solid
Berita :
Isteri MB Terengganu Terima Anugerah Wanita Inspirasi
Isteri MB Terengganu Terima Anugerah Wanita Inspirasi
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
81

KUALA NERUS, 13 Februari – Anak kelahiran Jerteh, To’ Puan Seri Tuan Faizah  Tuan Ab Rahman, 57, diiktiraf sebagai penerima Anugerah Wanita Inspirasi atas sumbangan besar beliau dalam bidang kebajikan, keusahawanan dan pembangunan masyarakat di negeri ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Dakwah dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Diploma Reka Fesyen dari Leeds University itu dikenali sebagai figura aktif memperkasa wanita dan institusi keluarga di Terengganu.

Beliau kini menerajui Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (KHAIRUNNISA’) sebagai pengerusi, selain menggerakkan pelbagai inisiatif ekonomi dan kebajikan di seluruh negeri.

Antara sumbangan signifikan beliau termasuk pengasas produk Sambal Hitam menerusi Projek Ekonomi Muslimat DUN Rhu Rendang dan Program Jemari Emas yang dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu bagi membuka peluang pendapatan kepada wanita.

Dalam bidang keusahawanan, beliau merupakan pemilik Alta Nursery di Besut dan butik Hannah Closet, selain memperkenalkan Program Pertanian Bandar sebagai usaha menggalakkan komuniti menjana sumber makanan sendiri.

Pengalamannya sebagai pendidik di SMK St. Bernadette’s Convent dari tahun 1995 hingga 2001 turut membentuk keperibadian kepimpinan dan komitmen sosial yang tinggi.

Ketika negara berdepan pandemik COVID-19, beliau aktif menyampaikan sumbangan kotak makanan dan minuman kepada pesakit serta petugas barisan hadapan, termasuk menyumbangkan alat pengering lantai dan pulse oximeter kepada petugas kesihatan.

Selain itu, minat mendalam dalam seni seperti melukis serta menjahit dan menenun beg turut diterjemahkan melalui pemasaran hasil karya di galeri KHAIRUNNISA’ Terengganu.

Pengiktirafan ini dilihat sebagai simbol penghargaan terhadap peranan wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam perniagaan, malah menjadi tulang belakang kebajikan dan pembangunan komuniti di Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, kepakaran dalam bidang jahitan, masakan, pertanian dan seni lukis yang dimiliki isteri Menteri Besar Terengganu terus dimanfaatkan untuk memperkasa golongan wanita di negeri ini.

"Kami melihat potensi besar yang ada pada isteri Menteri Besar yang bukan sahaja berkelayakan dalam bidang jahitan, malah mahir dalam masakan, pertanian dan seni lukis," jelasnya ketika ditemui pihak media selepas program Terengganu Hijab Day 2026 di Dewan Arena Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, semalam.

Menurutnya, kepakaran tersebut telah dikembangkan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui kelas jahitan serta galakan kepada wanita untuk menceburi bidang pertanian sebagai sumber ekonomi tambahan keluarga.

“Sekarang ini kita sedang bergerak ke daerah-daerah untuk mengadakan siri kelas masakan. Beliau juga sentiasa terbuka sekiranya ada permintaan untuk kelas melukis,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, setakat ini kelas seni lukis secara rasmi masih belum dilaksanakan, namun ia akan diadakan sekiranya mendapat sambutan dan permintaan daripada masyarakat.

Roslina berharap wanita di seluruh Terengganu mengambil inspirasi daripada usaha dan kepakaran yang dikongsi, sekali gus berani mengembangkan bakat masing-masing.

"Sebarang maklumat berkaitan penganjuran kelas akan dimaklumkan melalui hebahan di media sosial dari semasa ke semasa," tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan