Berita :
Isu Anjing Liar: Kerajaan Terengganu Sedia Bantu Penternak, Tindakan Tegas Sedia Diambil
Isu Anjing Liar: Kerajaan Terengganu Sedia Bantu Penternak, Tindakan Tegas Sedia Diambil
Hidayah Azlin
13 jam yang lepas
110

KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmennya untuk membela nasib para penternak yang kerugian akibat serangan anjing liar, di samping bersedia mengambil tindakan tegas bagi menangani gangguan haiwan terbiar tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah pelupusan anjing liar sering kali mendapat tentangan daripada golongan pencinta haiwan, namun keselamatan penduduk dan rantaian ekonomi penternak tempatan perlu diberi keutamaan.

"Bila kita ambil tindakan untuk lupuskan anjing liar yang berkeliaran, maka melenting para pencinta anjing.
"Bila haiwan ternakan orang kampung jadi mangsa, boleh ke kita nak minta pencinta anjing tolong bayar ganti rugi?" katanya. 

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dr. Azman menyatakan bahawa sekiranya tiada pihak luar yang tampil bertanggungjawab ke atas kerugian tersebut, pihak kerajaan negeri sedia mengambil tanggungjawab untuk meringankan beban mangsa.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja melibatkan penyaluran bantuan kepada penternak yang terjejas, malah operasi 'memindahkan' anjing-anjing liar tersebut daripada terus mengancam ketenteraman awam.

"Kalau tak boleh (minta ganti rugi) tak apalah, biar Kerajaan Negeri tolong bantu penternak.

"Bukan bantu penternak terlibat sahaja, tetapi juga bantu 'pindah alam' anjing-anjing liar yang berkeliaran," ujar beliau lagi.

Susulan daripada kejadian terbaharu yang menimpa seorang penternak kampung, Cikgu Tuan Fauzi, yang kerugian selepas beberapa ekor kambing miliknya mati akibat diserang sekumpulan anjing liar.

Dr. Azman turut menzahirkan rasa simpati dan berharap agar mangsa tabah menghadapi ujian berkenaan, sambil memberi jaminan bahawa pihak kerajaan negeri tidak akan berpelukan tubuh dalam isu keterjaminan rantaian ternakan rakyat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan