Isu Setempat Dibawa Ke Kamar Khas

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Sesi Kamar Khas pada sidang parlimen telah dimanfaatkan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus dengan membawa isu-isu setempat di Kuala Nerus kepada pihak berwajib. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, antara isu yang dibangkitkan berkaitan cadangan tapak baharu Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dan naik taraf jalan FT03 dari Kampung Pulau Rusa ke Bulatan Batu 6, Kuala Nerus.

"Situasi kesesakan semasa di Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, sehingga bangunan kuarters terpaksa dijadikan makmal klinik. 

"Tempoh menunggu sehingga 2031 adalah terlalu lama dan ini memberi kesan yang amat besar terhadap kualiti perkhidmatan awam yang ditawarkan kepada rakyat Kuala Nerus. 

"Oleh itu, bagi memastikan isu klinik kesihatan ini dapat diselesaikan lebih cepat dengan kos yang lebih rendah, saya ingin mencadangkan agar Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dibina di atas tapak baharu di Kampung Banggol Pauh," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam ucapan Kamar Khas Sidang Parlimen, baru-baru ini.

Selain itu katanya, berkaitan naik taraf jalan FT03 dari Kampung Pulau Rusa ke Bulatan Batu 6, Kuala Nerus, yang juga melibatkan dua Jambatan yakni Jambatan Manir dan juga Jambatan Buluh Gading yang mana daripada dua lorong kepada empat lorong. 

"Hal ini adalah untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik yang teruk bermula di jambatan tersebut ekoran Kuala Terengganu Bypass dari Kuala Ibai mempunyai 'double carriageway' yang berakhir di Kampung Durian Burung.

"Isu ini telah saya bawa sebagai usul Kamar Khas pada Tahun 2023. Namun jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu menyatakan cadangan projek ini telah dimohon pada Rolling Plan 4(RP4)

"Namun sehingga kini, saya belum mendapat apa-apa maklumat terkini secara rasmi daripada pihak Jabatan Kerja Raya Negeri mengenai projek ini," katanya. 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: