TERENGGANU, 13 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu bakal mengumumkan satu insentif bantuan khas dalam masa terdekat bagi meringankan beban 4,513 pesawah berdaftar di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif tersebut dirangka sebagai langkah proaktif kerajaan bagi mengimbangi tekanan kos yang ditanggung golongan petani susulan kenaikan harga diesel.
Menurut beliau, komitmen itu dizahirkan selepas mendengar keluhan dan suara hati para pesawah dalam satu pertemuan khas bersama Ketua-Ketua Tani di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) KETARA, Besut, baru-baru ini.
"Kita akui pesawah berada dalam situasi yang agak tertekan sekarang. Menyedari perkara ini, Insya-Allah Kerajaan Negeri akan umumkan satu insentif bantuan kepada semua pesawah dalam masa terdekat.
"Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 4,513 pesawah padi berdaftar di Negeri Terengganu bagi mengimbangi beban yang sedang ditanggung ekoran kenaikan harga diesel," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Dr. Azman menegaskan kepentingan peranan pemimpin sebagai pendengar yang baik dalam mendepani isu rakyat, terutamanya dalam sektor jelapang padi.
Beliau berkata, meskipun tidak semua perkara dapat diselesaikan secara serentak, namun kerajaan negeri komited untuk menjadi perantara dan mencari jalan penyelesaian yang paling harmoni demi kebajikan petani.
"Ada isu yang kita boleh selesaikan, ada perkara yang kita boleh jadi perantara. Tak boleh buat semua perkara, kita jangan tinggal semua perkara.
"Pemimpin perlu menjadi seorang pendengar yang baik sambil mencari jalan penyelesaian yang paling harmoni," ujarnya lagi.
Langkah itu dilihat sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap kelangsungan sektor agromakanan dan nasib komuniti petani yang menjadi tulang belakang keterjaminan makanan di Terengganu.
Tag :