Berita :
Jenazah Dua Beradik Lemas Dikebumi Dalam Satu Liang Lahad
Jenazah Dua Beradik Lemas Dikebumi Dalam Satu Liang Lahad
Mohd Haniff Abas
1 jam yang lepas
62

KUALA TERENGGANU, 13 Mei — Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir di sini, petang tadi, apabila jenazah dua beradik yang ditemukan lemas di Sungai Jeram Pasar semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ali Abu Bakar berkata, urusan pengebumian kedua-dua mangsa selesai selepas solat jenazah dilaksanakan di Surau Saidina Umar, Pasar Jeram kira-kira jam 2 petang.

“Jenazah kedua-dua mangsa telah disembahyangkan bersama ahli keluarga, penduduk kampung serta sahabat handai sebelum dibawa ke tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui.

Solat jenazah diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, manakala bacaan talkin dipimpin oleh Ustaz Firdaus Hamid.

Dalam kejadian petang semalam, dua mangsa berkenaan, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira jam 6 petang.

Kedua-dua mereka ditemukan di dasar sungai pada jarak hampir 50 meter dari lokasi kejadian dengan kedalaman sekitar tujuh meter.

Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama dua lagi rakan mereka kira-kira jam 3 petang.

Dua lagi mangsa, Noor Shaqira Abdul Fatah dan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, masing-masing berusia 12 tahun, bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah rakan-rakan mangsa serta guru-guru dari Sekolah Menengah Datuk Haji Abdul Rahman Limbong dan Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan