Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang seorang tukang gunting, Baharin Jaafar, 26, bagi mencari pendapatan lain sebagai seorang saudagar mainan melalui' Facebook live'.

Baharin atau lebih dikenali sebagai Pok Ren di laman sosial tersebut berkata, dia telah mula berkecimpung dalam perniagaan atas talian sejak penguatkuasaan PKP pada bulan Mac tahun lepas ekoran pelaksanaan kawalan tersebut menghalangnya meneruskan kerja asal di kedai gunting rambut.

“Ideanya datang daripada melihat trend peniaga lain menjual barangan seperti jam, baju dan sebagainya dalam ‘FB Live’, jadi saya mengambil peluang itu bagi menyara keluarga saya ketika waktu pandemik.

“Antara mainan dijual adalah barangan ‘second-hand’ berjenama dari Jepun, Amerika Syarikat dan China seperti Kamen Rider, Dragonball, Star Wars, Ultraman dan lain-lain lagi, stok barangan ini dibeli daripada pengedar di Terengganu sehingga dari China dan Jepun.

“Cara menjual saya kira siapa cepat kunci (lock) barangan dengan harga ditetapkan atau secara bidaan, contohnya seperti mainan ‘GI Joe’ ini saya lock dengan harga RM80, jadi siapa cepat dia dapat,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.

Tambahnya yang menetap di Kuala Terengganu, harga mainan dijualnya antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada kos dan harga pasaran barangan, tetapi murah kerana kebanyakannya adalah barangan terpakai.

“Pendapatan bulanan dengan lima hingga enam sesi siaran langsung boleh meraih daripada RM2,000 hingga RM4,000, dengan penonton boleh mencecah bermula dengan 20 hingga 200 orang,” katanya lagi.

Mengulas tentang kebaikan berniaga atas talian, Pok Ren menyifatkan ia sebagai platform yang baik terutamanya apabila pergerakan fizikal membataskan perniagaan fizikal.

“Kos perniagaan juga jimat dan mempunyai capaian luas dari segi potensi pelanggan, kebanyakan pembeli adalah penonton luar Terengganu dan ada juga dari Sabah dan Sarawak.

"Jadi sementara menunggu PKP habis, saya boleh menyara isteri dan anak kecil saya dengan menjadi saudagar mainan 'online' sepenuh masa," tambahnya.

Untuk maklumat lebih lanjut, Pok Ren bersiaran live di Facebook ‘Kedai Mainan Pok Ren’ setiap Rabu dan Jumaat pada pukul 9.00 malam sehingga 3.00 pagi.