Jaga Kebersihan, Bersiap Hadapi Musim Tengkujuh

Petugas sukarelawan bertungkus-lumus membersihkan kawasan sekitar.
Oleh: Solahuddin Al-Idrus

KUALA TERENGGANU - Walaupun wabak denggi sudah terkawal, orang ramai diminta mengambil perhatian dan menjaga kebersihan serta bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah berkata, pada tahun 2016 yang lalu kawasan Bandar paling teruk diserang wabak bawaan nyamuk Aedes itu.

"Tiga minggu lepas denggi masih terkawal, tidak seperti mana tahun-tahun yang lepas.

"Tahun 2016 kita paling teruk diserang denggi.

"Alhamdulillah, tindakan pantas Pejabat Kesihatan dan penduduk setempat menyebabkan keadaan sekarang dah terkawal," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media, semalam (26 Ogos).


Ustaz Ahmad Shah yang juga Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata, usaha yang diambil oleh cawangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Ku Cabang 3 dengan kerjasama MPKK Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran dan MPKK Masjid Tok Ku  menganjurkan gotong royong adalah sangat terpuji.

Oleh itu, beliau menasihatkan masyarakat setempat agar berhati-hati dan memastikan kebersihan rumah masing-masing.

"Walaubagaimanapun kita mesti berhati-hati kerana nyamuk yang membawa wabak ini masih aktif.

"Penduduk mesti sentiasa memastikan kawasan rumah tiada air yang bertakung,” kata beliau.

Menurutnya, baliau menyarankan agar penduduk mengambil pendekatan mencegah dengan memastikan penyakit tidak merebak pada musim tengkujuh.

"Saya nasihatkan agar masyarakat setempat mengambil pendekatan mencegah dan bersedia dari segala kemungkinan tertutama dari sudut kebersihan tempat makan dan minum serta di sekitar kawasan rumah.

"Saya mengharapkan agar semua orang ambil peranan supaya penyakit yang ada tidak merebak," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Tok Ku Cabang Tiga, Syed Abdullah Syed Agil berkata, penganjuran program gotong-royong perdana itu sebahagian usaha membasmi penularan wabak berkenaan.

“Usaha ini menghindarkan masyarakat daripada dijangkiti denggi di samping menyahut seruan kerajaan yang meminta semua agensi kerajaan membantu menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Tag: