Mercu tanda Terengganu yang baharu, jambatan angkat atau `drawbridge’ yang menghubungkan Muara Selatan di Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir, dijadualkan akan beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.
Jambatan angkat yang pertama di Asia yang kini mencapai hampir 57 peratus siap, menjadi ikonik kepada komponen pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTTC) dengan pelaburan keseluruhan RM 5 bilion.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek membangunkan infrastruktur yang merangkumi 632 meter panjang keseluruhan struktur jambatan dan 50 meter span navigasi mendatar tanpa halangan bagi `draw span’serta 12 meter ketinggian navigasi menegak tanpa halangan apabila jambatan tertutup itu dijangka mengambil tempoh 135 minggu pembinaan.
“Pembinaan keseluruhan drawbridge yang bermula pada 13 Ogos 2014 dijangka siap dalam tempoh kurang setahun dari sekarang mampu melicinkan perjalanan trafik di kawasan itu, selain membolehkan pengguna jambatan menikmati pemandangan mengagumkan di sekeliling muara itu.
“Ciri-ciri menara drawbridge dan `Bascule Span’ memerlukan masa selama dua minit untuk dibuka dan jangkamasa yang sama juga untuk ditutup,”katanya kepada Teganukita.
Ahmad Razif berkata, jangka masa dua minit itu tidak termasuk masa untuk mengosongkan laluan trafik dan penutupan pagar. Bagaimanapun, jika termasuk masa itu (mengosongkan laluan trafik dan penutupan pagar) ianya memerlukan lebih kurang 20 minit untuk dilengkapkan.
Selain itu, menurutnya, sebuah restoran mewah berkapasiti 200 orang bakal beroperasi di `skybridge’ di menara jambatan itu dan sebuah menara lagi bakal menempatkan galeri yang juga mampu memuatkan 200 peserta.
Beliau berkata, di sekitar jambatan itu turut dibangunkan pangkalan bot dan kapal, selain Kompleks membeli-belah KTCC Mall yang melibatkan kos RM1 bilion dengan dilengkapi 200 unit kedai, cineplax 10 skrin, gelanggang boling 48 lorong dan juga menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu 30 tingkat di Muara Selatan.
Menurutnya, jalan raya sepanjang lima kilometer dari jambatan angkat KTCC Drawbridge sedang dibangunkan bagi menghubungkan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu, sekali gus mengukuhkan lagi peranannya dalam industri pelancongan negeri ini.
Dalam pada itu, projek pembangunan KTCC dijangka mewujudkan lebih 10,170 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor kepada penduduk tempatan akan memperkukuhkan lagi imej Kuala Terengganu sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Air yang dinamik dan berdaya maju.
Muara utara dan muara selatan dibangunkan sebagai perluasan kepada kawasan pusat perniagaan Kuala Terengganu yang sedia ada dengan penerapan terhadap ciri-ciri kebudayaan, landskap dan seni bina unik.
Untuk rekod, pembangunan muara utara seluas 56 hektar yang melibatkan kos RM85 juta bermula pada 19 Mei 2014 dan siap pada 28 April tahun ini, manakala muara selatan melibatkan keluasan 16 hektar dengan peruntukan RM31.25 juta bermula 14 September 2011 serta siap pada 12 November 2013.