Jambatan sepanjang hampir tiga kilometer menghubungkan Kampung Teluk Pasu ke Losong, Kuala Terengganu melalui Pulau Sekati mula dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Manakala jalan menghala ke Kampung Banggol Tuan Muda, Manir ke Gemuroh sepanjang 3.3 km pula dijangka dibuka secara rasmi pada 19 Jun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata projek yang turut melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 1.58 kilometer (km) dan jalan raya 1.8 km dengan anggaran kos RM245 juta itu pastinya memberikan kelegaan kepada orang ramai.
“Dengan pembukaan laluan alternatif itu mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas ketara, terutama pada musim cuti persekolahan dan musim perayaan di laluan sedia ada iaitu di Jambatan Sultan Mahmud dan jalan menghala ke Manir.
“Laluan sama juga turut menjadi penghubung ke Lebuh Raya Pantai Timur II,”katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pembangunan Projek Jambatan di Atas Sungai Terengganu Ke Pulau Sekati, Kuala Terengganu, petang ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir Abd Hamid Md Daud dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali.
Ahmad Razif turut memberitahu, apabila keseluruhan projek itu siap kelak pengguna sekitar Kuala Terengganu mempunyai beberapa pilihan sekiranya mahu ke Kuala Nerus.
Katanya, mereka boleh menggunakan jambatan Sultan Mahmud atau Jambatan Pulau Sekati yang menghubungkan terus ke laluan Jeram dan Kampung Jeram Tok Kong.
“Jabatan Pulau Sekati mula dibina pada tahun 2012 namun tergendala dan tersasar daripada jadual akibat masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.
“Kemudahan itu sudah diuji dan semua dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi untuk membolehkan pembukaannya,”katanya.