lightning-solid
Berita :
'Jangan Heret Peneroka' - Exco Terengganu Minta Felda Tak Pusing Fakta
'Jangan Heret Peneroka' - Exco Terengganu Minta Felda Tak Pusing Fakta
Hidayah Azlin
03 Dec 25
1601

KUALA TERENGGANU, 3 Disember – Pengurusan FELDA diminta untuk tidak mengheret para peneroka ke dalam krisis isu tanah ladang komersial FGV yang sedang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak ‘gentleman’ dan seolah-olah menjadikan peneroka sebagai ‘perisai manusia’ bagi melindungi isu ciptaan pengurusan mereka sendiri.

"Kenapa pengurusan FELDA nak tarik sekali peneroka ke dalam krisis ciptaan mereka sendiri? Peneroka tak terlibat dan tak bersalah sedikit pun. Ini tak gentleman," tegasnya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya pagi ini.

Dr. Azman menjelaskan secara terperinci perbezaan kategori tanah bagi memastikan kekeliruan tidak timbul di kalangan orang ramai. 

Katanya, kategori Tanah Peneroka adalah tanah di bawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA), iaitu tanah Rancangan FELDA yang diduduki oleh peneroka. 

Manakala kategori kedua jelas beliau ialah Tanah Ladang Komersial FGV. 

"Tanah ini tidak diwartakan di bawah Akta GSA dan ia adalah fokus utama yang sedang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri," ujarnya.

Beliau berkata, apabila geran hak milik telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada peneroka, ia membuktikan peneroka sendiri yang telah membayar premium tanah dan cukai tanah dan bukannya FELDA.

"Isu ini (tanah ladang FGV) tak berbangkit dan tak ada kaitan langsung dengan isu ladang FGV yang sedang diperjuangkan Kerajaan Negeri," jelasnya.

Dalam pada itu menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan PAS mempunyai rekod cemerlang dalam membela hak pemilikan tanah peneroka.

"Hampir keseluruhan 21 Tanah Rancangan FELDA di Terengganu telah diberikan geran hak milik yang sah kepada peneroka," katanya.

photo_2025-12-03_09-43-45.jpg 122 KB
"Antaranya di Felda Selasih yang dibuka pada awal 80-an, berjaya mendapat geran hak milik pada tahun 2003 semasa zaman pemerintahan PAS. Pada tahun 2022 sekali lagi, Kerajaan Negeri menyelesaikan pemberian geran hak milik tapak rumah generasi kedua Felda Selasih.

"Ini rekod yang boleh berbicara sendiri. Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS paling serius berusaha untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka FELDA," tegasnya.


Artikel Berkaitan