KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Setiap Ahli Parlimen dalam negara ini diingatkan agar tidak menjadikan Persidangan Dewan Rakyat sebagai platform untuk berpolitik murahan sebaliknya kepentingan rakyat perlu diberikan tumpuan dan keutamaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, apa yang ingin didengari rakyat adalah perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan buat mereka.
"Sebenarnya saya sedar dan faham mereka (Ahli Parlimen) seramai 222 merupakan orang politik... Tetapi apabila masuk ke dalam dewan berbahas dengan baik jangan jadikan ia sebagai platform untuk menyampaikan modal politik.
"Politik itu kita main di luar, yang kita hendak bincangkan dalam parlimen ini adalah isu rakyat yang seharusnya diutamakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Turut hadir, Yang di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.
Mengulas lebih lanjut Johari berkata, cadangan memendekkan tempoh perbahasan di Parlimen dengan dihadkan kepada tiga minit pada pandangan beliau ia relevan bagi memastikan setiap perkara yang dibahaskan tidak meleret panjang.
"Sebenarnya kalau pergi ke parlimen-parlimen luar negara seperti Eropah masa yang diberikan hanya tiga minit, di England tanpa ada kerusi dan meja dia boleh bercakap dalam masa seminit.
"Tidak bermakna tidak boleh berucap, ketika dibincangkan tentang bajet setiap orang saya pernah bagi sampai 15 minit begitu juga dengan waktu-waktu tententu khususnya yang berhubung di peringkat jawatankuasa atau ada isu-isu tertenu saya maksimumkan kepada lima minit.
"Jangan berbunga-bunga dengan pantun sehingga berpantun sahaja cecah 20 minit, jadi jenuhlah kita kena ingat setiap minit kita berada dalam dewan itu merupakan masa rakyat," ujarnya.