KUALA TERENGGANU, 16 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan agar tidak mengundang perselisihan yang boleh ‘memanaskan’ dewan sepanjang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri.

Kenyataan tersebut disuarakan ADUN Ajil, Maliaman Kassim yang menyarankan agar wakil rakyat bersidang mengelakkan kebangkitan isu lapuk dan memfokuskan perbincangan perbahasan bajet.

“Diharapkan kita dapat berbincang dengan keadaan tenang dan munasabah sebagai wakil rakyat.

“Perkara begini memberi kesan kepada generasi muda di mana mereka dapat bergaul mesra antara satu sama lain tanpa kira fahaman politik.

“Apatah lagi kita yang matang tidak boleh mengeluarkan pandangan politik bersikap sebegini, ia mesti dilihat sebagai satu politik perhubungan lebih matang,” katanya.

Terdahulu, Wakil Hulu Besut, Nawi Mohammad membangkitkan isu politik dihadapi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang tidak lagi selari boleh menyebabkan perpecahan Melayu Islam seperti peristiwa sembahyang dua imam pada 1980-an dahulu.

 

Kenyataan ini dibidas oleh ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang menjelaskan wakil Hulu Besut perlu merujuk Piagam MN dan perhalusi semua isinya bagi melihat sejauh mana dakwaan dibuatnya.

“Muafakat adalah kerjasama atas naratif Melayu dan Islam, jangan kelirukan dewan,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali turut mengingatkan Ahli Yang Berhormat (AYB) agar mengikuti ‘standing orders’ .

“Mana-mana pihak tidak boleh menggunakan peluang untuk bercakap perkara yang tidak perlu,” tambahnya.