Jangan  Panik, Bekalan Kit Pantas RTK Cukup

KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur di seluruh negara adalah mencukupi walaupun kes harian meningkat.

Timbalannya, Datuk Rosol Wahid berkata,  orang ramai tidak perlu panik kerana lebih 18 juta unit kit tersebut masih ada untuk menampung keperluan rakyat 

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati peniaga menjual produk berkenaan di bawah harga siling ditetapkan kerajaan.

"Kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum RTK ini masing-masing pada RM16 dan RM19.90 namun pemeriksaan kita mendapati ada yang menjual lebih murah daripada itu.

“Pemeriksaan kita mendapati kebanyakan premis perniagaan yang kehabisan stok menjual kit tersebut dengan harga murah di bawah RM10 namun isu bekalan di kedai atau farmasi di kawasan sekitarnya   yang menjualnya pada harga hampir sama dengan siling iaitu RM19.90," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Rosol menasihatkan pengguna hanya membeli kit RTK antigen yang mempunyai label Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan ketulenannya.

Jelas beliau, ia bagi mengelakkan pengguna terbeli kit ujian Covid-19 tiruan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. –