lightning-solid
Berita :
Jangan Sekadar Bentang Laporan, Rakyat Mahu Jawapan
Jangan Sekadar Bentang Laporan, Rakyat Mahu Jawapan
Amirul Mohd
1 jam yang lepas
32

MARANG , 16 Ogos – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya membentangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tanpa kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, perkara sebesar laporan RCI Tabung Haji sewajarnya diberikan penjelasan secara langsung oleh Perdana Menteri sendiri kepada Dewan Rakyat, lebih-lebih lagi apabila isu berkenaan pernah dibangkitkan dan didedahkan oleh Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, laporan RCI ini bukan sekadar laporan biasa, ia melibatkan pengurusan institusi yang berkaitan dengan wang simpanan umat Islam dan mempunyai kepentingan besar kepada rakyat.

“Sepatutnya Perdana Menteri sendiri hadir untuk memberikan penjelasan dan membentangkan perkara ini kepada rakyat melalui Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang telah menghantar surat supaya persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga Perdana Menteri sendiri memberikan jawapan berhubung isu RCI Tabung Haji.

Katanya, Perdana Menteri merupakan pihak yang mempunyai autoriti untuk memberikan penjelasan menyeluruh berhubung perkara tersebut, khususnya berkaitan keputusan dan tindakan susulan kerajaan selepas laporan RCI dibentangkan.

Laporan RCI berkenaan dibentangkan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Dalam pembentangan itu, kerajaan memaklumkan bahawa RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah, manakala kerugian yang dikaitkan dengan pelaburan tersebut hampir mencecah RM13 bilion.

Kerajaan turut berdepan risiko liabiliti sekitar RM74.5 bilion pada 2018 sekiranya berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran oleh pendeposit.


Tag :

Artikel Berkaitan