Jalur Gemilang
Berita :
‘Jangan Sekadar Tunggu Pelabur’ – MB Mahu Agensi Negeri Lebih Agresif
‘Jangan Sekadar Tunggu Pelabur’ – MB Mahu Agensi Negeri Lebih Agresif
Mohd Irsyadi Abu Bakar
16 jam yang lepas
205

KUALA TERENGGANU, 16 November – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mahu agensi pembangunan ekonomi negeri lebih agresif memburu pelaburan dan beralih daripada pendekatan sekadar menunggu pelabur datang.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan kewangan sedia ada untuk membangunkan ekonomi negeri.

“Kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam dunia pelaburan yang kompetitif untuk menukar posisi daripada sekadar ‘penjaga pintu’ yang menunggu pelabur kepada pengejar yang mencari pelaburan berpotensi.

“Saya mahu agensi-agensi penting pembangunan ekonomi negeri melakukan perubahan ini dan bertindak secara lebih agresif,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, naratif ‘menjual’ Terengganu juga perlu diubah dengan mengetengahkan keseluruhan ekosistem yang dapat menyokong keperluan pelabur.

“Naratif kita ‘menjual’ Terengganu mesti diubah dan berfokuskan kepada sebuah ekosistem menyeluruh seperti lokasi bahan mentah, keupayaan sumber tenaga mahir, sokongan utiliti dan kebolehan mengeksport melalui integrasi ECRL dan pelabuhan,” katanya.

Dalam aspek kewangan, beliau berkata, kerajaan negeri perlu meneroka inovasi pembiayaan dan sumber baharu untuk memperkukuh kedudukan fiskal berlandaskan prinsip keadilan dan keupayaan.

“Kerajaan negeri akan meneliti potensi kepelbagaian pembiayaan alternatif, agar projek-projek infrastruktur yang berkepentingan kepada rakyat dapat direalisasikan tanpa gangguan pihak lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti semula kawasan perindustrian bagi mengenal pasti sektor dan profil pelabur yang mampu memberikan pulangan optimum.

Langkah itu bertujuan membentuk rantaian bekalan antara kawasan perindustrian yang saling menyokong.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan