KUALA NERUS, 17 Januari- Terengganu FC tewas 0-4 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), JDT terlebih dahulu melancarkan serangan menerusi Bergson da Silva seawal minit kedua perlawanan.

Turun selaku pasukan pilihan, JDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun tuan rumah masih konsisten meneutralkan ancaman mereka.

Penyerang Terengganu FC, Ismail Akinade berjaya melakukan umpanan di luar kotak penalti lawan pada minit kelapan, bagaimanapun rembatan lemah Nurillo Tukhtasinov mudah ditangkap penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Dua minit kemudian, gawang Sang Penyu hampir bolos selepas pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni melakukan kesilapan ketika mengeluarkan hantaran lintang Romel Morales, mujur rembatan Oscar Aribas tersasar.

Skuad Harimau Selatan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi kuisan mudah Romel, selepas menerima bola muntah tandukan Park Junheong yang terkena palang hasil sepakan penjuru JDT.

Terengganu FC cuba bangkit menerusi percubaan Akinade pada minit ke-26, namun dinafikan Syihan.

Memasuki minit ke-33, Romel yang menerima lorongan Arif Aiman melakukan 'turning' sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Rahadiazli Rahalim untuk gol kedua pelawat.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Fitri Maskon membatalkan gol tersebut kerana sebelum jaringan terhasil, kapten Terengganu FC, Manuel Ott terlebih dahulu dikasari pihak lawan.

Perlawanan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, JDT lebih agresif mencari kelebihan jaringan dengan ancaman ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-55, Arif Aiman jatuh di dalam kotak penalti setelah Alif Zakaria melakukan hadangan dan dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, hasil semakan semula VAR keputusan tersebut dibatalkan.

Terengganu FC mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila pemain gantian, Bonillo melakukan hantaran lintang tepat kepada Ott yang tidak dikawal, tetapi rembatan pemain kelahiran Filipina itu melambung tinggi.

Pada minit ke-79, Arif Aiman menunjukkan magisnya sebagai pemain paling bernilai di hadapan 11,250 peminat bola sepak yang hadir apabila menggelecek memasuki kotak penalti, sebelum mudah menewaskan Rahadiazli untuk jaringan kedua JDT.

Hasrat Terengganu FC untuk mengelakkan jurang jaringan lebih besar menjelang aksi kedua di Johor Bahru, lebur apabila sekali lagi dihukum Arif yang meledak gol ketiga pelawat hasil hantaran Juan Muniz pada minit ke-84.

Memasuki minit ke-92, pemain gantian JDT, Nazmi Faiz Mansor melakukan hantaran lintang yang disudahkan Bergson untuk gol keempat perlawanan.

Terengganu FC menutup aksi pertama separuh akhir tanpa sebarang jaringan dan berdepan tugas getir untuk mengejar kelebihan empat jaringan JDT di gelanggang lawan pada 1 Februari nanti.

 


Tag: