Jet Pejuang Sukhoi Curi Tumpuan

KUALA TERENGGANU, 1 September - Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri di sini turut dihidangkan dengan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Segmen pertunjukan udara TUDM tersebut dibarisi oleh dua pesawat pejuang sukhoi.

Pada program itu, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, pada Khamis.

Orang ramai turut hadir bagi menyaksikan perarakan dan perbarisan serta pertunjukan hari Kebangsaan dengan membawa Jalur Gemilang sepanjang laluan program itu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan sambutan terbabit.

Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Seramai lebih kurang 3,949 peserta dari 109 Kontinjen menyertai perarakan yang penuh warna warni dengan iringan cuaca yang agak baik.

Perbarisan lebih empat kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.

 


Tag: