Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Satu kempen 'Say No To Valentine Day ' dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT sebagai usaha pencegahan kepada maksiat dan perlakuan tidak senonoh pada hari kekasih yang disambut setiap 14 Februari.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, sebagai langkah pertama dalam menjayakan kempen dakwah ini, pihaknya mensasarkan beberapa kawasan strategik yang menjadi tumpuan ramai.
“Seramai 20 pegawai penguat kuasa syariah terlibat dalam kempen tersebut dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran mengenai sambutan hari kekasih yang bercanggah dengan Islam.
"Program ini bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat berkaitan sambutan hari kekasih yang mana ramai pasangan muda mengambil kesempatan meraikannya hingga terjebak dengan maksiat," katanya.
Tambah beliau, antara kesalahan yang sering dikesan adalah di bawah Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Selain itu katanya, ada juga pasangan yang ditangkap di bawah Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat.
Jelas beliau, jika sabit kesalahan pesalah bagi kedua-dua kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kita tidak mahu ada yang melakukan kesalahan ini jadi, JHEAT mengambil pendekatan pencegahan supaya orang ramai khususnya remaja sedar bahawa hari kekasih tidak wajar disambut sekaligus terhindar dari maksiat," katanya.