HULU TERENGGANU, 17 Disember- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukan lebih RM1.2 juta bagi tambahan keperluan barangan makanan bagi menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri , Mazura Ngah Abdul Manan berkata, penambahan itu diberikan kepada semua 152 pengkalan hadapan di seluruh negeri sejak awal Disember baru-baru ini selepas gelombang pertama banjir di Terengganu.
"Kita sudah mengambil langkah awal dengan menyediakan segala persiapan termasuk tilam, tikar, makanan seperti sardin dan lain-lain barangan keperluan termasuk kelengkapan mandian.
“Barang-barang asas makanan tersebut dihantar bagi menambah keperluan yang telah digunakan sepanjang banjir gelombang pertama yang melanda beberapa daerah di Terengganu pada akhir November lepas.
“Bekalan tambahan tersebut yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri ini merupakan persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat pada akhir Disember hingga Mac 2024,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Bakul Makanan Petronas di PPSK FELCRA Gunung Menerong, Ajil di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata JKM akan menggunakan perbelanjaan darurat yang sedia ada sebanyak RM1.7 juta daripada kerajaan negeri sekiranya berlaku banjir besar dan keperluan bekalan masih tidak mengcukupi.
"Kita banyak belajar dari pengalaman lepas, oleh sebab itu persediaan ini penting supaya tidak berlaku sebarang kelewatan dalam usaha membantu mangsa bencana yang berada dalam kesusahan," ujarnya.
Sementara itu, Mazura berkata pihaknya bersedia mengkaji penggunaan kad pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir bagi mengelak berlaku keciciran agihan barangan keperluan sebagaimana JKM Kelantan.
"Kita akan lihat kesesuaian penggunaannya di Terengganu sama ada membantu atau tidak.Jika dapat memudahkan lagi urusan, mungkin kita akan buat pelaksanaan yang sama.
"Setakat ini kita berpuas hati dengan kaedah sedia ada yang mana kita sentiasa menambah baik sistem bantuan mangsa banjir bagi mengelakkan keciciran bantuan berlaku," katanya.