• 25 Okt 2024 | 22 Rabiul Akhir 1446

JPJ Rekod Jumlah Saman Tertinggi Pandu Lebih Had Laju



Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik(Awas) atau Sistem Pengkuatkuasaan Automatik(AES) mencatatkan kesalahan had laju dengan jumlah saman tertinggi iaitu 72,806 kes.

Timbalan Ketua Pengarah(Pengurusan) JPJ,  Dato' Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, tempoh saman yang direkodkan itu bermula 15 April hingga 19 Jun lalu.

"Dalam tempoh tersebut jumlah keseluruhan saman dikeluarkan menerusi Awas ialah 82,054 keping yang mana kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat sebanyak 9,248 kes menjadi saman kedua tertinggi yang dikeluarkan.

"Kesemua kesalahan dicatatkan ini melibatkan jumlah RM976,200 hasil saman Awas di seluruh negara,"kata Wan Ahmad Uzir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Ops Selamat di Plaza Tol Ajil, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 21 AES dipasang termasuk tujuh terbaharu di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.

Dua daripadanya di laluan Lebuhraya Pantai Timur(LPT) 2 iaitu di Kilometer 256.1 berhampiran Cheneh dan di KM 288.6 berdekatan Chukai.

Selain itu juga, katanya sebanyak 6,535 saman telah pun diselesaikan pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan.

Tambah Wan Ahmad Uzir lagi, pihaknya
juga memasang papan tanda amaran dalam jarak tiga kilometer sebelum kamera AES sebagai amaran awal kepada pengguna jalan raya.

Katanya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur kepada pengguna yang melakukan kesalahan seperti langgar lampu isyarat, mengguna telefon bimbit ketika memandu, melanggar had laju, mengguna lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Saman maksimum sebanyak RM 300 dikenakan jika dikesan melakukan kesalahan, manakala RM150 di luar musim perayaan.

"Kita dah pasang tanda amaran awal AES  dan jika masih tidak patuh mereka sengaja cari masalah,"ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Wan Ahmad Uzir berkata,
di Terengganu, sebanyak 21 lokasi berisiko dikenal pasti antaranya di KM 6- KM 11 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kuala Terengganu),KM 98-KM 114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Besut) dan KM 247-KM 260 LPT 2 (Kemaman).

"0ps penyamaran dengan meletakkan para pegawai dan anggota di dalam bas ekpres juga diteruskan.

"JPJ dah memeriksa sebanyak 2,531 buah bas dan sebanyak 136 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen vakasional serta kesalahan teknikal.

"Ini termasuklah kerjasama dengan AADK bagi melakukan saringan ujian air kencing pada pemandu bas,"ujarnya lagi.

Tag: