JPKK Pelaksana Dasar Kerajaan

KEMAMAN, 28 Disember - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) adalah salah satu agensi yang perlu melaksanakan keputusan sebuah kerajaan. 

Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Che Alias Hamid menyatakan bahawa JPKK merupakan akar umbi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat di dalam sesebuah pentadbiran negeri. 

"Di samping pegawai kerajaan, JPKK juga perlu menjalankan tanggungjawabnya bagi merealisasikan perancangan kerajaan untuk kepentingan rakyatnya dengan sebaik mungkin.

"Walaupun kita dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tapi kitalah sebagai tulang belakang yang diperlukan bagi menjayakan agenda yang dibawa oleh kerajaan sekarang. 

"Dan ingatlah bahawa usaha memertabatkan syariat islam yang diperjuangkan puluhan tahun ini telah menjadi dasar kerajaan pada hari ini dan ianya mesti diteruskan walaupun ada beberapa kekangan dari segi kewangan dan sebagainya," ucapnya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman itu berucap di Majlis Apresiasi Dan Sanjungan Budi JPKK DUN Air Putih Bersama ADUN Air Putih di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa tugasan yang dipikul ini akan ditanya dan hitung oleh Allah SWT samada baik ataupun sebaliknya.

"Semoga usaha yang kita lakukan ini akan dipermudahkan dan diberkati oleh Allah, InsyAllah akan dibalas dengan balasan yang baik oleh Allah kelak," ucapnya lagi.


Tag: