JPNT Urus Penghantaran 261 Calon SPM Ke Pusat Peperiksaan Alternatif
KUALA TERENGGANU, - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil inisiatif untuk menguruskan penghantaran 261 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir ke pusat peperiksaan alternatif.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, proses penghantaran semua pelajar terlibat berjalan lancar pagi ini.
Katanya, semua perancangan rapi telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung untuk memastikan keselesaan calon SPM.
"Cuaca juga agak baik dan saya dimaklumkan proses penghantaran semua calon SPM ke pusat peperiksaan alternatif berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi terlibat yang turut membantu memudahkan proses penghantaran pelajar.
"Terima kasih jabatan ucapkan kepada semua pihak terutama Majlis Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta Pejabat Pendidikan Daerah yang menyelia urusan pengangkutan pagi ini," katanya.
Terdahulu, beliau juga telah meninjau proses penghantaran 16 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting ke pusat peperiksaan alternatif awal pagi tadi.
"Alhamdulillah semuanya nampak ceria dan semangat untuk menghadiri ujian pertuturan Bahasa Melayu yang diadakan di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin pagi ini.
Difahamkan, seramai 1,734 calon SPM dari 20 buah sekolah di enam daerah di Terengganu telah dikenalpasti terjejas akibat bencana itu.