Julang Martabat Pendidikan Islam Ke Tahap Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kebersamaan antara kerajaan, pendidik dan masyarakat mampu mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap tertinggi.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tugas dan tanggungjawab pendidik bukanlah mudah, sebaliknya penuh cabaran yang perlu ditempuhi dalam usaha melahirkan modal insan berguna kepada masyarakat.

"Rintangan harus ditempuhi dengan cekal dan berpegang matlamat yang jelas. Tentunya tugas ini berat dan mengambil masa lama, walaupun begitu ia akan memberi impak positif kepada anak didik khususnya anak-anak Terengganu.

"Atas dasar inilah kerajaan negeri melihat perlu ada kesinambungan dan kerjasama erat antara kerajaan, pendidik dan masyarakat bagi memastikan sektor pendidikan berjalan baik.

"Konvensyen hari ini yang bertemakan 'Pendidikan Rabbani Teras Kesejahteraan Ummah' merupakan teras utama kerajaan negeri dalam memastikan sektor pendidikan Islam dapat dimartabatkan selaras Terengganu sebagai 'serambi Madinah'," ucapnya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Dan Majlis Penyampaian Anugerah Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2021, di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Turut hadir, pegawai kewangan negeri; Zainal Abidin Mohamad, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT); Mat Azmi Arshad Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat  dan timbalannya, Maliaman Kassim.

Dalam pada itu Satiful turut merakamkan penghargaan kepada penerima anugerah yang terpilih dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) yang diketuai pengarahnya, Lothman Awang dalam menjayakan konvensyen tersebut.

"Hari ini, 14 tokoh pendidik diberikan anugerah sebagai penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan negeri terhadap para alim, ulama, pendidik, guru-guru yang bekhidmat tidak mengira pendapatan kewangan dan sebagainya, atas usaha dan tanggung jawab, amanah mereka sebagai pewaris nabi yang dipusakakan ilmu pengetahuan.

"Kita harap ini pelaburan terbaik untuk kita kembali kepada Allah SWT dan terima kasih kepada semua jabatan termasuk JPINT yang berusaha terus mengangkat martabat pendidikan islam di Terengganu ini," katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 14 tokoh pendidik menerima anugerah daripada kerajaan negeri dengan sumbangan penghargaan bernilai RM1,000 bagi setiap kategori. 

 

 

 


Tag: