Kad Sejahtera Alternatif Dapatkan Rawatan Di Klinik Swasta - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam program e-kasih di negeri ini bakal menikmati bantuan subsidi rawatan kesihatan asas menerusi program Kad Sejahtera yang dilancarkan hari ini.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penerima yang terpilih layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan selewatnya Ogos ini.
“Seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerajaan negeri komited merealisasikan program ini berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan yang merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.
“Secara tidak langsung, Kad Sejahtera mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kad Sejahtera Terengganu 2019 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Menurut beliau, penerima yang memenuhi syarat akan diberikan kad tersebut melalui pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing dan perlu dikemukakan sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan.
“Bagi peringkat awal, sebanyak 10 klinik swasta di setiap daerah akan menawarkan perkhidmatan ini yang mana sekarang ini adalah proses pendaftaran klinik-kilinik berkenaan.
“Kita sasarkan 20,000 keluarga bakal menerima manfaat menerusi program Kad Sejahtera ini dan sebagai permulaan, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta pada tahun ini,” ujarnya.
Dr Samsuri berkata, program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin.