Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Penerima-penerima bantuan Kad Sejahtera bersama Dr Azman. |
Oleh : Ariss Alias
Foto : Hidayah Azlin
SETIU, 7 Januari - Penerima Kad Sejahtera menyifatkan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Terengganu itu amat bernilai bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat kesihatan sempurna.
Warga emas, Awang Jusoh, 69, dari Kampung Chalok berkata, dengan RM70 diperuntukan bagi setiap rawatan nilai berkenaan sudah sangat besar buat dirinya.
“Isteri dan anak-anak juga dapat menumpang sama manfaat ini. Sudah rahmat buat kami, kami sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kad Sejahtera peringkat DUN Langkap semalam.
Bagi penduduk Kampung Rahmat, Mariam Chik, 76, dia terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat mendapatkan kesihatan yang terbaik.
“Insya-Allah mak cik akan gunakan kad ini dengan sebaiknya. Selepas ini mudah untuk mak cik dapatkan rawatan daripada klinik swasta, dapat menjamin kesihatan kami,” ujarnya.
Awang Jusoh. |
Dalam majlis berkenaan, seramai 364 pemohon menerima Kad Sejahtera yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim semalam di Dewan Sivik Chalok Kedai.
Sementara itu, Dr Azman menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan penerima untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar.
“Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan.
“Mungkin ada yang mengatakan kenapa tidak membuat tuntutan insuran, tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan duit yang bayar kepada insuran itulah kegunaan untuk pembelanjaan asas. Bantuan ini adalah dalam bentuk sebenar keperluan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Mariam Chik (kiri). |
Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun 2019 sebagai permulaan.