Dr Ahmad Samsuri (tengah), Dr Alias (kanan) dan Dato' Bentara Dalam A Rahman di Majlis Pelancaran Kad Sejahtera di Lobi DUN Terengganu 16 Julai lalu. |
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Kerajaan negeri memaklumkan bahawa Kad Sejahtera akan mula diserahkan kepada pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai hari ini untuk diagihkan kepada penerima.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kad tersebut bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkeupayaan untuk menanggung kos perubatan mereka.
"Kad itu mempunyai nilai RM500 untuk tempoh setahun. Had penggunaan adalah RM70 untuk sekali transaksi.
Contoh Kad Sejahtera |
"Kad ini boleh diguna pakai di klinik-klinik swasta terpilih di seluruh Terengganu. Terdapat 22 klinik swasta yang menyertai program ini," jelas beliau ketika diwawancara oleh Warta Darul Iman (WDI) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Maklumat penuh wawancara berkenaan akan disiarkan dalam WDI Terbitan Ogos ini.
Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan 20,000 keluarga menerima manfaat menerusi program kad tersebut.
Sebagai permulaan katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta untuk tujuan tersebut tahun ini.
Terdahulu, Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah melancarkan kad itu di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, 16 Julai lalu.
Dr Alias dan Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya turut hadir di majlis tersebut.