'Kami Lega, Terima Kasih MKN'

HULU TERENGGANU, 7 Julai - Rata-rata pemilik kedai gunting rambut menarik nafas lega dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sub sektor itu dibuka semula selepas ditutup sejak 1 Jun lalu.

Pemilik kedai gunting, Mohd Arif Alias, 24, pengumuman yang membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula amat dinantikan selepas mereka tidak bekerja  hampir sebulan.

Dia berkata, pihaknya bersedia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelanggan.

"Alhamdulillah....terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.

"Sudah terlalu lama perniagaan ditutup malah ramai yang bertanya, bila kedai hendak dibuka," katanya.


Sementara itu, Mohd Saufi Sulaiman, 37, salah seorang pemilik kedai gunting berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan itu memberi harapan kepada penggiat sektor berkenaan untuk kembali menjana pendapatan.

Katanya, pembukaan semula kedai gunting rambut yang diumumkan kerajaan itu sekaligus membantu usahawan belia bumiputera yang mendominasi perkhidmatan berkenaan di daerah ini.

“Meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan agak ketat berbanding sektor lain, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya seramai dua pekerjanya dapat kembali bekerja.


"Sepanjang tempoh tidak dibenarkan beroperasi, saya terputus punca pendapatan dan terpaksa menggunakan duit simpanan yang ada sepanjang tempoh tersebut bagi meneruskan kehidupan seharian.

Menurutnya, beliau amat berterima kasih di atas keprihatinan pihak kerajaan yang mendengar keluh-kesah pengusaha gunting rambut untuk kembali beroperasi.

"Biarpun kehadiran pelanggan sedikit berkurangan sepanjang tempoh PKP kali ini, namun saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki buatnya dan dua pekerja," kata Mohd Saufi.