Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Kampung Budaya Terengganu Tambah Seri Drawbridge
Rest & Comfort Boutique Hotel dirasmikan. |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri sedang mencari kawasan terbaik berhampiran jambatan angkat untuk membangunkan kampung tersebut yang dijangka menjadi kawasan tumpuan pelancong.
Jelasnya, budaya, seni serta produk dari seluruh Terengganu akan dikumpulkan dan dipamerkan di kampung tersebut, sekali gus mengangkat karya anak Terengganu ke peringkat lebih tinggi.
“Dalam perancangan kita setakat ini, kita bercadang untuk membina kampung budaya dengan mengambil inspirasi dari Sarawak yang mengetengahkan budaya mereka dengan membina kampung tersebut di kawasan pedalaman.
“Di Terengganu, konsep itu kita ambil namun dibina mengikut acuan budaya di negeri ini, contohnya hasil tembaga, batik dan keropok lekor, juga kita kumpulkan tempat-tempat menarik yang ada di Terengganu dan semua budaya yang ada di sini,” ujarnya.
Ariffin menegaskan kewujudan kampung budaya bakal meningkatkan kehadiran pelancong ke Terengganu. |
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap merasmikan Hotel Rest & Comfort Boutique Hotel dan Majlis Hari Raya Muaz Force di Panji Curve Business Park, Panji Alam, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan Pengerusi Rest and Comfort Boutique Hotel, Roslan Awang Chik.
Mengulas lanjut tentang kampung itu, Ariffin menjelaskan, kampung tersebut adalah berbeza dengan konsep pekan budaya yang sudah dilaksanakan di setiap daerah.
Katanya lagi, pekan budaya hanya bersifat sementara seperti persembahan kebudayaan sahaja dan tidak merangkumi seluruh budaya, seni serta produk di Terengganu.
“Ia berbeza dengan pekan budaya, pekan budaya ada aktiviti nyanyian, tarian yang dibenarkan dan program-program di semua daerah yang kita ada.
“Tapi kampung budaya kita nak buat secara kekal, tak sama dengan pekan budaya yang bersifat ‘on off’, di mana perkampungan yang mengumpulkan semua perkara yang kita nak lihat di Terengganu, kita masukkan semua elemen itu,” tambah beliau.