Kampung Cina Street Sport Challenge Dijadikan Acara Tahunan
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Kampung Cina Street Sport Challenge akan dijadikan acara tahunan yang berpusat di Pulau Warisan bermula tahun ini.
Berita gembira itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dalam ucapannya, semalam.
Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan kejohanan itu berbangga dengan penglibatan semua kaum yang menyertai pelbagai acara dianjurkan.
"Kehadiran yang terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India yang bersama-sama pada petang ini membuktikan keharmonian serta kebersamaan kita di negeri Terengganu ini amat kukuh lagi terpelihara dengan amat baik selama ini.
"Kampung Cina yang kita ketahui lebih terkenal melalui pelancongan budaya dan warisan.
"Melalui cetusan idea sebegini, saya berharap semoga penganjuran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan skala lebih besar dan mendapat sokongan pelbagai pihak," katanya.
Hadir sama ke program tersebut hari ini ialah ahli dewan undangan negeri(ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Terengganu, Asmadi Mohamad.
Tambahnya, penganjuran program itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga di sekeliling kawasan tersebut.
"Kita akan terus berganding bahu memajukan negeri Terengganu dan memperkasakan negeri diperingkat nasional," ujarnya.