Berita :
Kantoi! Rumah Jadi ‘Port’ Beli Makanan Siang Ramadan, 7 Ditahan JHEAT
Kantoi! Rumah Jadi ‘Port’ Beli Makanan Siang Ramadan, 7 Ditahan JHEAT
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
266

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Taktik sebuah rumah yang dijadikan tempat untuk orang Islam ponteng puasa membeli makanan terbongkar apabila kediaman di kawasan Paka, Dungun itu diserbu pasukan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kira-kira pukul 12 tengahari, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, dalam operasi yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Dungun berdasarkan hasil maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam, tujuh individu berumur antara 30 hingga 61 tahun turut ditahan.

Beliau berkata, kesemua individu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana disyaki melakukan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Pegawai penguatkuasa Syariah telah menahan tujuh individu beragama Islam yang terdiri daripada dua orang wanita sebagai penjual makanan dan lima orang lelaki sebagai pembeli.

“Ketika serbuan dilakukan, didapati beberapa pembeli sedang membungkus makanan yang dibeli di premis berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati penjual menjadikan dapur rumahnya sebagai tempat menjual makanan, manakala pembeli dipercayai masuk melalui pintu belakang rumah untuk membeli makanan bagi mengelakkan dikesan.

“Ketika ditahan, individu yang terlibat memberi pelbagai alasan antaranya mengatakan kurang sihat serta tidak larat berpuasa kerana bekerja di bawah cuaca panas,” ujarnya.

Aizi Saidi berkata, mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kesemua individu tersebut telah dilepaskan dengan bon jaminan untuk hadir ke mahkamah dengan seorang penjamin pada tarikh yang akan ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar seluruh umat Islam di negeri ini khususnya supaya sentiasa menjaga kemuliaan dan kesucian bulan Ramadan.

“Ambilah peluang daripada baki hari-hari Ramadan yang ada untuk memperbanyakkan amal ibadah serta merebut ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan