Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
Kartun Majalah Gila-Gila yang terkenal ketika era 70-an menjadi tumpuan utama pengunjung ke Pameran Kartun dan Kita 2018 anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu di Dewan Mendalika, di Muzium Negeri Terengganu , Losong Kuala Terengganu, bermula 1 Julai sehingga 31 Oktober depan.
Pameran tersebut mengumpul lebih 100 karya majalah itu daripada 500 karya yang meraikan pelbagai kisah sejarah warna-warni Malaysia yang jarang disaksikan atau difahami di persekitaran budaya kontemporari.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, melalui pameran selama empat bulan itu, pengunjung berpeluang mengetahui sejarah perkembangan kartun dan komik di negara ini bermula pada 1925 dan mencapai zaman kegemilangannya pada 1971 hingga 1990.
“Paling menakjubkan, komik Gila-Gila berjaya memberi impak besar yang mencorak kehidupan ramai orang. Bahkan, ia pernah muncul sebagai majalah terbanyak dibaca dibandingkan semua majalah yang diterbitkan di Malaysia.
“Kita berharap generasi muda hari ini dapat menghargai dan meneladani bakat kreatif pengkaryaan komik seperti yang pernah dinukilkan oleh barisan kartunis tersohor dan berbakat ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Kartun Dan Kita 2018, di muzium itu, hari ini.
Ariffin turut memberitahu, kartun dan animasi merupakan medium hiburan yang paling dekat dengan masyarakat pada hari ini.
Katanya, animasi bukan lagi perkara baharu dalam industri hiburan antarabangsa mahupun tempatan. Malah, di Malaysia bidang ini semakin berkembang pesat dengan lahirnya bakat dan idea lebih kreatif selari dengan kecanggihan teknologi dunia pada masa kini.
“Bersesuaian dengan status negara kita sekarang yang sedang melangkah ke arah negara maju, pelbagai indikator menjadi ukuran untuk merealisasikannya.
“Antaranya adalah bidang-bidang strategik yang berpotensi. Bidang animasi di lihatkan mempunyai nilai potensi yang sangat besar kerana ianya merupakan metodologi pendidikan melalui hiburan yang amat dekat dengan dunia kanak-kanak dan masyarakat hari ini,”katanya.