KUALA NERUS, 22 Oktober - Kerajaan Terengganu memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 melalui Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu untuk mengagihkan bantuan peralatan kepada nelayan di negeri tersebut, khususnya nelayan pantai bagi membantu peningkatan hasil tangakapan perikanan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sebanyak 123 nelayan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri menjadi penerima pertama program tersebut.
"Kita agihkan kawat bubu, pukat dan juga kit keselamatan. Pada musim tengkujuh, biasanya nelayan akan isi masa dengan jahit pukat buat bubu, jadi pemberian ini kena pada masanya dan walaupun tak banyak, tetapi membantu menyelesaikan beberapa perkara.
"Kita juga berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan lebih besar pada tahun depan untuk memperbanyakkan lagi program bantuan semua sektor pertanian di mana, hasrat kita untuk memudahkan dari segi birokrasi dan sampai kepada kelompok sasar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Agihan Bubu Kepada Nelayan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Batu Rakit, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu, Rusman Rusdy.
Jelas Dr. Azman, program bantuan itu merupakan peringkat ketiga bantuan kepada nelayan Terengganu.
"Program ini baru dilancarkan tahun ini. Semasa dua tahun pertama, kita kenal pasti masalah sebenar nelayan terutama nelayan pantai iaitu kurangnya sumber perikanan dan pencerobohan.
"Jadi, pada dua tahun pertama, Terengganu menjadi negeri paling aktif melabuhkan tukun dan unjam serta jadi satu-satunya negeri yang melaburkan dana untuk program ini. Manakala, tahun ini kita fokus beri bantuan, sesuai dengan susur galur permasalahan mereka," katanya.
Tambahnya lagi, nelayan-nelayan di negeri itu turut berdepan masalah perlesenan bagi mencari hasil perikanan di perairan Terengganu.
"Bagi isu perlesenan, kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk kenal pasti jumlah dan kita telah angkat nama dan pemilik sampan belum berlesen di Terengganu dengan jumlah sekitar 800 buah sampan.
"Alhamdulillah, ia telah diluluskan, cuma tinggal urusan adminisasi serta dokumentasi dan kita jangkakan dalam masa terdekat nelayan-nelayan kita akan dapat lesen," jelasnya.
Sebanyak 123 penerima kawat bubu terdiri daripada 47 orang dari daerah Besut, Setiu (12 penerima), Marang (12), Dungun (8) dan Kemaman (26) dalam agihan secara terus, hari ini termasuk nelayan-nelayan di Kuala Terengganu iaitu seramai dua orang dan Kuala Nerus (16 penerima).