KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan antara keunikan utama negeri Terengganu akan terus dipelihara dan diperkukuhkan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian budaya dan tradisi dalam kalangan rakyat menjadi pelengkap antara satu sama lain serta menyumbang kepada warna-warni kehidupan bermasyarakat di negeri ini.
"Inilah masanya untuk kita terus memperkukuh ikatan, menyemai persefahaman, mempererat silaturahim dan memelihara kesejahteraan di Negeri Terengganu yang kita kasihi," jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Tionghoa yang menjadi sebahagian daripada rakyat Terengganu dan menyumbang kepada kemakmuran serta pembangunan negeri.
"Marilah kita terus berganding bahu dan bekerjasama membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang," tambah beliau lagi.
Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghoa di negeri ini.