• 09 Nov 2024 | 07 Jamadil Awal 1446

Kejam, Bayi Usia Seminggu Ditinggalkan

KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu yang masih bertali pusat ditemukan di hadapan sebuah rumah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Kuala Ibai di sini, semalam.

Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, yang bekerja di pusat penyelenggaraan kenderaan berkata, dia menemukan bayi lelaki itu ketika pulang dari tempat kerjanya pada pukul 6.05 petang.

Menurutnya, pada awalnya, dia tidak perasan bayi tersebut berada di hadapan rumahnya.

“Bagaimanapun, kira-kira lima minit selepas memasuki rumah, saya terdengar bunyi tangisan bayi.

“Pada mulanya menyangkakan tangisan itu anak jirannya dan selepas itu tangisan bayi itu semakin lama semakin kuat.

“Saya yang tidak sedap hati kemudian keluar dari rumah dan terkejut apabila terdapat seorang bayi lelaki yang memakai lampin pakai dan dibungkus dengan kain batik berwarna merah,” katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini, malam tadi.

Ahmad Fauzi berkata, dia kemudian memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.

“Bayi tersebut telah dibawa pihak berkuasa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan.

“Orang yang mempunyai maklumat tentang penemuan bayi itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.