Kejohanan Payung Terjun Jadi Acara Kalendar Pelancongan Terengganu
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pendekatan itu selaras usaha untuk menjadikan Terengganu sebagai hab sukan ekstrem yang semakin diminati ramai selepas mengambil kira faktor-faktor seperti pengalaman sebagai tuan rumah acara yang sama dan kesesuaian lokasi terjunan.
Katanya, tahun ini Terengganu sekali lagi dipilih sebagai lokasi penganjuran sukan berkenaan dengan kerjasama Persatuan Payung Terjun ATM (Payujun), selepas menjadi tuan rumah pada tahun lalu.
"Saya sudah berbincang dengan ATM dan bersetuju untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara besar dengan buat julung kalinya melibatkan peserta antarabangsa.
"Justeru kerja-kerja promosi akan dibuat termasuk di luar negara bagi menjayakan kejohanan yang dirancang pada Julai tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Payung Terjun ATM 2016 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Kejohanan tahunan kali ke-9 itu berlangsung selama lapan hari bermula semalam hingga Sabtu depan bertujuan meningkatkan keupayaan penerjun yang terdiri daripada anggota tentera laut, darat dan udara di samping memperkenalkannya sebagai sukan pelancongan rekreasi.
Ahmad Razif berkata, pelbagai acara menarik akan diadakan sebagai pelengkap kepada kejohanan tersebut antaranya pameran oleh tentera darat dan pertunjukan tatu serta sukan ekstrem lain seperti motosikal.
"Pameran itu mungkin seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Langkawi Kedah tetapi diadakan di Terengganu.