• 06 Jul 2024 | 29 Zulhijah 1445

Kekecewaan Rakyat Terhadap Kerajaan Berlaku Akibat Tekanan

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Kekecewaan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Persekutuan muktakhir ini berlaku secara organik akibat tekanan berterusan dalam pelbagai sektor terutamanya kos sara hidup.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai isu dibicarakan rakyat Malaysia tanpa terpengaruh dengan mana-mana parti politik. 

"Saya lihat secara umumnya isu yang ada dalam negara banyak dan bukan parti politik sahaja yang memainkan isu yang ada ini.

"Bahkan kita lihat di media sosial ia berlaku secara organik di kalangan rakyat, pengusaha, peniaga kecil dan sebagainya yang merasa telah berlaku tekanan kehidupan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai usaha menolak kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim, katanya perkara itu bukan diatur oleh parti tetapi merupakan gerakan massa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Jadi terpulang kepada tafsiran mana-mana pihak apa yang sedang berlaku ini, tapi pokok pangkalnya isu di kalangan rakyat ini telah berlaku secara organik bukan diapi-apikan oleh mana-mana pihak," ujarnya.