Abdul Hadi (enam dari kanan) bersama keluarga meraikan Tahun Baru Cina di Rusila Marang baru-baru ini. |
MARANG, 11 Februari - Menjadi kelaziman bagi Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga beberapa tahun kebelakangan ini di Rusila di sini kerana mempunyai menantu perempuan berbangsa Cina, Aisyah Lim Abdullah.
"Saya bersama ahli keluarga menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di rumah anakanda Yusuf bagi meraikan menantu saya, Aisyah Lim yang berbangsa Cina. Gong Xi Fa Chai," katanya dalam status yang dimuat naik di Facebooknya semalam.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan majlis keraian keluarga besar Presiden PAS itu sebagai satu kehidupan harmoni dan memang manis sebagai keluarga Islam dan seorang tokoh kepimpinan ummah.
"Harmoni, Tuan Guru Ayah Chik (panggilan mesra Ahli Parlimen Marang itu) menyambut Tahun Baru Cina meraikan menantu beliau, Aisyah Lim yang berbangsa Cina. Memang 'sweet' (manis)," ulas Dr Ahmad Samsuri dalam status Facebook beliau yang dimuat naik semalam.
Ini menunjukkan bahawa tidak ada apa-apa masalah untuk orang Islam turut sama menyertai sambutan Tahun Baru Cina bagi menyatakan Islam tidak melarang penganutnya turut serta meraikan budaya sambutan perayaan berbilang kaum di negara ini selagi tidak bercanggah dengan akidah Islam.
Terdahulu, Dr Ahmad Samsuri turut meraikan kaum Tionghua dengan merasmikan Festival Sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Bahkan kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM200,000 termasuk untuk sambutan Tahun Baru Cina dan pelbagai bantuan lain kepada masyarakat Cina di seluruh negeri Terengganu pada tahun ini.