• 21 Okt 2024 | 18 Rabiul Akhir 1446

Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek

KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI.

Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa.

Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan.

Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun.

Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna.

"Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam.

Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya.

"Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya.

Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah.

Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar.

"Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.