Dato' Sri Ahmad Shabery dijadualkan melancarkan program CSR di Kampung Kayu Kelat, Jerteh, Sabtu ini. |
Lebih 1,500 peserta dijangka menyertai program gotong-royong Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang akan dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek,di Kampung (Kg) Kayu Kelat, Jerteh, Sabtu ini.
Program yang bertemakan `Gelombang Tani' diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memilih jelapang padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA), Besut dan akan diperluaskan ke 12 IADA lain seluruh negara.
Pengarah KETARA, Zulkifli Harun berkata, sempena pelancaran program itu Sabtu ini, peserta akan membersih kawasan sawah dan talir air sepanjang lima kilometer yang melibatkan 14 kampung.
Katanya, program yang diperkenalkan kementerian terbabit bertujuan menggalakkan pihak swasta dan penanam padi menjaga kebersihan sawah dan talir air yang sebelum ini banyak terbiar sekaligus mengakibatkan saliran air ke sawah terjejas.
Beliau berkata, kerajaan mengalami kerugian RM280 juta setahun bagi membiayai kos membersih di kawasan IADA seluruh negara dan satu kerugian besar terhadap kewangan negara.
Zulkifli berkata, program gotong-royong itu juga membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K), petani, pemimpin setempat serta kontraktor.
Katanya,inisiatif itu juga diharap dapat memupuk semangat kerjasama antara sektor swasta dan petani selainmewujudkan suasana ceria dan bersih di sawah khasnya di kawasan IADA.
“Menerusi program CSR membabitkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kesemua 23 kementerian terbabit secara langsung menjayakan projek perintis kementerian berkenaan,” katanya.