lightning-solid
Berita :
Kes Tibi di Terengganu Terkawal, 60 Kes Baharu Direkod Hingga Februari
Kes Tibi di Terengganu Terkawal, 60 Kes Baharu Direkod Hingga Februari
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
58

KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Situasi penularan penyakit tuberkulosis (tibi) di Terengganu kekal terkawal apabila hanya 60 kes baharu direkodkan setakat Minggu Epidemiologi ke-5 tahun ini, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran dan keberkesanan langkah kesihatan awam di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah kes yang direkodkan sehingga 7 Februari itu tidak menunjukkan peningkatan mendadak, malah hampir menyamai statistik bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, semua pesakit yang dikenal pasti kini sedang menjalani rawatan di bawah pemantauan rapi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan berkesan.

“Secara keseluruhan, trend kes tibi di negeri ini menunjukkan penurunan konsisten sejak tiga tahun kebelakangan iaitu daripada 680 kes pada 2023 kepada 632 kes pada 2024 dan menurun lagi kepada 608 kes tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, Terengganu kekal antara tiga negeri mencatatkan kadar insiden terendah di negara ini dengan hanya 48.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk berbanding purata kebangsaan sebanyak 78.1 kes.

Mengulas mengenai penularan penyakit itu, Wan Sukairi berkata bakteria Mycobacterium tuberculosis boleh merebak melalui titisan udara apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap tanpa menutup mulut, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan dalam kalangan kontak rapat seperti ahli keluarga, rakan sekerja dan individu serumah.

Katanya, golongan berisiko tinggi termasuk pesakit penyakit kronik seperti kencing manis, HIV dan masalah buah pinggang, selain warga emas, kanak-kanak, perokok serta individu yang tinggal di kawasan sesak dan kurang pengudaraan.

Beliau menegaskan penyakit tibi boleh disembuhkan sepenuhnya sekiranya pesakit mematuhi rawatan harian sekurang-kurangnya enam bulan, malah kebanyakan pesakit tidak lagi berjangkit selepas dua minggu menjalani rawatan secara konsisten.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menjalani saringan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam waktu malam atau penurunan berat badan mendadak.

“Pesakit juga tidak boleh berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor kerana tindakan itu boleh menyebabkan kuman menjadi kebal terhadap rawatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memastikan kediaman mempunyai aliran udara baik serta pencahayaan matahari mencukupi selain memberi sokongan moral kepada pesakit kerana tibi ialah penyakit berjangkit yang boleh dirawat dan bukannya penyakit keturunan.


Tag :

Artikel Berkaitan