Kemudahan Sukan Endurance Ditambahbaik Menjelang Sukan SEA 2017
Setiap kemudahan di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu akan ditambahbaik sebagai persediaan dan kelancaran Terengganu sebagai tuan rumah acara sukan berkuda endurance Sukan SEA 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, sehingga kini semua kelengkapan untuk menjadi tuan rumah sudah ada dan menepati syarat pengajuran sukan berprestij itu.
"Semua sudah lengkap kerana tempat ini pernah menganjurkan beberapa pertandingan peringkat antarabangsa tetapi untuk memastikan ianya lebih sempurna, kita akan 'upgrade' beberapa kemudahan yang sedia ada," katanya kepada TIT ketika ditemui selepas pelepasan pertandingan Endurance yang diadakan di Lembah Bidong, petang semalam.
Rozi berkata, tempat penginapan peserta juga mencukupi kerana beberapa hotel berhampiran tempat pertandingan sudahpun disenaraikan sebagai tempat penginapan peserta selain chalet di dalam TIEP.
Dalam pada itu, Mohd Faris Syafiq dari STET muncul juara kategori CEN 80 kilometer (km) (Q) dalam pertandingan Endurance yang diadakan di Lembah Bidong, semalam.
Manakala Yasir Yahya dari Cowboy Stable menduduki tempat pertama pertama bagi kategori CEN 40 km.