Kenaikan Caj Gunting Rambut Pada Kadar Berpatutan

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 7 Jun - Caj perkhidmatan gunting rambut di negeri ini dijangka akan dinaikkan pada kadar berpatutan antara RM5 hingga RM10 susulan peningkatan kos operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap perkhidmatan itu.

Presiden Persatuan Terengganu Barber Association, M. Amir Azizi Mohd Zaki berkata, walau bagaimanapun kenaikan dibuat pada kadar setimpal berdasarkan perkembangan dan keperluan semasa.

"Pengusaha kedai gunting dan dandan rambut terpaksa menampung kos tersebut sebaik sahaja memulakan operasi pada 10 Jun ini.

"Yang paling penting adalah  SOP itu untuk keselamatan pelanggan dan juga semua pihak.

"Jadi, industri dapat beroperasi dengan baik dan masyarakat dapat menggunakan perkhidmatan sewajarnya untuk menggunting rambut," ujarnya.

Beliau yang mengusahakan 'Amir Sibling Hairstyle' berkata demikian ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Menurut Amir Azizi, harga baharu itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat oleh persatuan dan pengusaha kedai gunting rambut di Negeri Terengganu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam sidang media semalam berkata SOP untuk kedai gunting ialah pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

Selain itu juga, ianya turut menetapkan agar pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan.

Di samping memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.