Kerajaan Digesa Pertimbang Yuran MUET
SETIU, 10 April - Kerajaan Pusat digesa agar mempertimbangkan semula kadar yuran ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang sehingga kini masih membebankan golongan tersebut.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kadar bayaran ujian MUET yang dikenakan untuk setiap pelajar ketika ini adalah sebanyak RM100 termasuk RM40 sebagai pendaftaran dan RM60 bagi yuran mata pelajaran.
“Yuran ini turut berlaku kenaikan yang pada asalnya hanyalah RM60, walaubagaimanapun sejak 2012 yuran ujian ini berlaku kenaikan sehingga RM100.
“Nilai RM100 ini wajib dibayar oleh semua pelajar dan langsung tidak dikurangkan nilainya sama ada pelajar dari golongan B40 ataupun tidak,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambah beliau, tindakan kerajaan memperkenalkan Ujian MUET On Demand (MOD) bermula tahun lalu bagi pelajar yang tidak berkesempatan menduduki ujian tersebut turut bertambah bebanan apabila mengenakan yuran sebanyak RM250.
“Nilai RM100 mungkin rendah bagi pelajar dari golongan berkemampuan namun begitu nilai ini amat besar untuk kalangan B40. Jika gagal mengikuti waktu yang ditetapkan mereka juga terpaksa menduduki Ujian MOD yang jelas sekali membebankan golongan ini.
Justeru katanya, kerajaan digesa agar mempertimbangkan semula kadar bayaran yuran khususnya bagi golongan B40 bagi membantu golongan ini menduduki ujian tersebut.